Sunday, 11 September 2011

Cebis-cebis Kekuatan

Kredit to Genta-Rasa Ust Pahrol. Artikel yang sangat mengubat tatkala hati ini mencari cebis-cebis kekuatan. Link asal di sini.

isteriku, apakah itu masih cinta?
Kata orang yang arif, “jadilah orang yang baik, nanti kebaikan akan datang kepada kita.”  Segala kebaikan akan datang kepada kita seperti besi yang tertarik kepada magnet. Sebab itu sering diperkatakan orang, jika kita murah dengan senyuman, kita akan murah rezeki.
Lihat sahaja peniaga yang ramah mesra dan sentiasa tersenyum melayan pelanggan, kedainya akan sering dikunjungi, produknya akan laku, jualannya sentiasa laris.
Kita tidak perlu tahu mekanisme saintifik tentang aura atau gelombang elektromagnetik untuk memahami semua ini.  Atau arif dengan tafsir seribu firman atau al hadis untuk mengamalkannya. Hanya jadilah orang yang baik dan berilah kebaikan.  Insya-Allah, kita akan mendapat kebaikan. Allah itu Maha Baik, DIA tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang baik. Setiap saat dan ketika tanya diri kita, apakah hari ini, ketika ini aku sedang menjadi atau sedang berusaha menjadi orang baik yang sentiasa ingin memberi kebaikan…
Tidak kira sejahat mana orang yang kita hadapi atau seburuk mana keadaan yang sedang kita alami, tetapi jangan sekali-kali korbankan ‘kebaikan’ diri kita. Biar kalah, tetapi jangan mengalah dengan kejahatan. Jangan ambil kejahatan menjadi ‘guru’ kita. Maksudnya, cubalah beri kebaikan walaupun sering dibalas dengan kejahatan. Tetapi sekiranya kita kecewa, dan mula membalas kejahatan itu dengan kejahatan yang sama atau yang melebihinya … takziah, kerana pada waktu itu kejahatan telah menjadi guru dalam kehidupan kita.
Dalam rumah tangga pun begitu juga. Jadilah pasangan yang baik. Insya-Allah kita akan menarik segala kebaikan untuk diri kita dan seluruh ahli keluarga. Baik tutur kata, manis senyuman dan mudah memberi kebaikan, itulah nanti akan menawan hati pasangan kita. Itulah hukum daya tarikan – law of attraction – yang kebelakangan ini kerap diperbincangkan dalam program latihan dan motivasi. Apakah yang dimaksudkan dengan law of attraction itu?
Pada diri manusia ada daya tarikan yang saling berhubung dengan daya tarikan manusia lain. Maksudnya, jika kita positif dan orang lain juga positif, maka kita akan mudah tertarik dan berhubung dengann harmoni. Pepatah lama mengatakan, burung yang sama bulu kepak dan warnanya akan terbang sekawan. Keceriaan kita akan menarik orang yang ceria untuk bersama kita. Keceriaan itu mudah ‘berjangkit’. Orang yang ceria sering dilingkungi oleh individu, situasi dan keadaan yang ceria juga.
Suasana yang semacam itulah yang akan membahagiakan cinta dalam rumah tangga. Bila kita ceria, fikiran, tindakan, perasaan dan kata-kata kita juga akan turut ceria. Percayakah anda kalau dikatakan untuk mudah belajar, bekerja dan melakukan apa jua aktiviti dengan lebih baik dan  berkualiti maka keceriaan itulah yang menjadi syaratnya? Ada hormon endroomorphin yang akan dirembeskan dalam tubuh orang yang ceria. Hormon yang akan memberi rasa tenang, seronok dan gembira.  Inilah yang ditegaskan oleh pakar-pakar NLP.
Sebaliknya, orang yang negatif – asyik marah-marah dan merungut, hormon kortisol pula yang akan akan dirembeskan. Hormon ini akan menurunkan darjah keceriaan dan individu itu akan menjadi pemurung, pemarah dan perungus. Orang yang asyik marah-marah, merungut, mengeluh dan membebel akan ‘meletihkan’ pasangannya Ingatlah tidak ada siapapun suka orang yang pemurung atau perampus.
Dia akan menghantar ‘gelombang’ yang negatif dan sebagai balasannya dia juga.akan menerima reaksi yang negatif. Hukum daya tarikan pun berlaku tetapi kali ini ke arah yang sebaliknya. Gelombang negatif ini akan menghakiskan rasa ceria dan gembira dan lambat laun akan turut meranapkan perasaan cinta. Ingat, cinta itu umpama pohon, jika tidak dibajai ia akan layu dan mungkin akan mati. Salah satu baja untuk cinta ialah memberi perasaan gembira kepada orang yang kita cintai.
Cinta tidak dapat diraih dengan ugutan dan ancaman. Ia soal hati yang memberi dan menerima dengan rela. Cinta tidak boleh dipaksa. Gelombang cinta bergerak dalam susunan rasa indah bagaikan satu simponi pada satu gubahan ‘muzik’ yang sinergi dan harmoni. Mainkan muzik cinta itu… ia akan datang dengan senyuman, sentuhan dan pandangan mata yang penuh indah dan berwarna-warni. Sungguh indah!
Bila suami hendak pulang ke rumah, sediakanlah set minda (mind set) yang betul sebelum masuk ke rumah lagi. Niatkan dalam hati ingin menceriakan hati isteri yang di rumah. Betapa besar sekalipun masalah kita di permusafiran atau di tempat kerja, leraikanlah dahulu. Jangan hanya memikirkan masalahnya sahaja yang besar, masalah isteri di rumah pun adakalanya lebih besar dan mencabar daripada masalah suami di luar rumah.
Begitu juga isteri di rumah, menjelang kepulangan suami, tenangkan hati, katakana kepada diri sendiri, “suami ku akan pulang. Aku akan menceriakan kepulangannya dengan memahami, simpati dan empati terhadap segala masalahnya.” Orang yang hanya merasakan bahawa masalahnya sahaja yang besar, peranannya sahaja yang penting dan bebannya sahaja yang berat… sebenarnya adalah orang yang ego.
Aneh sekali pengaturan Allah – kadangkala, cara menyelesaikan masalah kita ialah dengan menyelesaikan masalah orang lain. Kaedah meringankan beban sendiri ialah dengan berkongsi menanggung beban orang lain. Dan kerap kali doa kita akan dimakbulkan bila kita mendoakan orang lain. Jangan nafikan hakikat ini. Sebaliknya, praktikanlah. Lakukan kepada orang yang terhampir dengan kita, siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita?
Sayangnya, set minda yang betul kekadang tercalar oleh sikap curiga. Rasa hati yang simpati dan keinginan memahami dimusnahkan oleh prasangka. Bimbang kalau kebaikan kita dieksploitasi, ketulusan kita dimanupulasi, maka kita enggan menghantar gelombang yang positif. Syaitan mencelah dengan tiupan kata-kata, “ engkau ditipu. Kejujuranmu tidak akan dihargai. Apa gunanya menabur budi kalau nanti engkau akan dipersia?”
Ada juga yang tidak sabar untuk mendapat hasil atau balasan yang cepat. Mereka yang hanya menyiram tidak sampai semusim tetapi mengharap dapat memetik buah dengan segera. Lupakah kita bahawa membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata? Kalau hari ini kita menanam benih, kita sirami dan bajainya… apa yang kita akan dapat pada hari esok? Ya, hanya benih yang basah. Bukan bunga, apatah lagi buah. Maka begitulah menanam pohon cinta, salah sekali kalau kita mengharap bunga atau buahnya akan terhasil dengan segera. Berilah masa, berilah peluang dan bukalah ruang untuk pasanganmu berubah.
Petanda minda yang positif dan betul banyak sekali. Cukup kalau di sini kalau dinyatakan hanya dua. Dua yang sangat penting. Sematkan dalam hati dan praktikkanlah dengan hati, lisan dan perbuatan. Pertama, orang yang positif akan dapat melihat sisi yang positif pada diri pasangannya. Who you are determine how you see – siapa diri kamu menentukan bagaimana kamu melihat. Ya, isteri yang positif akan dapat melihat ciri, sifat dan aksi positif pada diri suaminya dan begitulah juga sebaliknya.
Masakan tidak ada langsung sisi positif pada pasangan kita? Jika demikian, mengapa kita memilihnya sebagai pasangan hidup ketika bernikah dahulu? Jadi, cuba positifkan minda kita dahulu nescaya kita akan nampak kebaikan pada pasangan kita. Ya, keburukannya ada, tetapi kebaikannya juga ada. Jadi apa salahnya kalau kita tumpu, hargai, pupuk dan bajai kebaikan itu agar dapat bertahan dan meningkat?
Manusia suka dihargai, disokong dan dianggap wira. Lalu jadikanlah suami kita sebagai wira. Sokong impiannya, bantu cita-citanya dan pulihkan kekecewaannya. Jadikanlah isteri kita sabagai wirawati yang didorong cita-cita, impian dan harapannya. Ketika suami pulang dengan wajah lesu, bimbang dan gentar dengan tribulasi di tempat kerjanya, isteri di rumah tetap menjadi penyokong yang setia. Tidak mengapa jika tidak punya buah fikiran, cukup hanya dengan kata-kata belaian dan sokongan. Buktikan dengan bahawa tubuh mu, bahawa kau adalah benteng dalam hidupnya!
Isteri di rumah kekadang bukan mengharapkan layanan bagaikan ratu atau permaisuri tetapi cukup sekadar suaminya mendengar dengan penuh penghayatan dan memberi penghargaan yang sarat dengan kejujuran. Mata itu jendela hati, maka pandanglah wajah isteri dengan rasa sayang yang tidak berbelah bagi, insya-Allah, pandangan itu akan meresap ke dalam hati menjadi penawar yang sangat mujarab pada keletihan, kelesuan dan kejemuan memikul tugas yang sama sepanjang hari.
Kita hanya boleh memberi kebaikan jika kita menjadi orang yang baik. Jika kita tidak mampu lagi menghulurkan kebaikan, insaflah bahawa kualiti diri kita sebagai insan yang baik sudah boleh dipertikaikan. Walau apapun kesusahan atau beratnya penanggungan kita, itu bukan alasan untuk menggadaikan kualiti hati yang baik. Aku tertekan, aku mesti marah. Aku kecewa, aku mesti mengeluh. Aku letih, aku mesti merintih… Itulah suara-suara hati yang sudah terkena tipuan syaitan dan bujukan nafsu.
Yang kedua, orang yang positif akan fokus kepada penyelesaian bukan pemasalahan. Siapapun akan myudah nampak apa masalahnya, tetapi hanya orang yang positif akan nampak penyuelesaiannya. Orang yang positif akan ‘menyerang’ punca masalah bukan orang yang bermasalah. Maka begitulah isteri yang positif akan memberi penyelesaian kepada masalah-masalah rumah tangga atau masalah yang di hadapi oleh suaminya.
Ummu Salamah pernah memberi buah fikirannya kepada Rasulullah saw dalam menghadapi ‘rasa terkejut’ para sahabat baginda sehingga tidak melakukan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah  apabila mereka terhalang untuk mengerjakan haji ke Makkah hingga termetrainya perjanjian Hudaibiyah.
Begitu juga Ummu Sulaim yang menyembunyikan berita kematian anaknya demi memberikan kerehatan kepada suaminya  yang baru pulang dari musafir sehingga dipuji serta didoakan oleh Rasulullah SAW? Mereka berdua itulah antara ribuan isteri solehah  menjadi pemberi tenaga (energy giver) kepada suami dalam menghadapi ujian dalam kehidupan di dalam dan di luar rumah tangga.
Mereka sentiasa fokus kepada penyelesaian dengan mencari apakah jenisnya masalah itu, apa puncanya, apakah alternatif penyelesaiannya? Mereka berani menukar gaya berfikir dan mengubah gelombang perasaan untuk mendapat hasil yang berbeza. Justeru mereka faham jika kita tidak mengubah gaya berfikir dan berani menukar perasaan, masalah yang sama akan menjadi keluhan dan rintihan berulang-ulang tanpa kesudahan!
Bagaimana caranya untuk tetap positif walaupun mungkin reaksi pasangannya anda belum seperti yang diharapkan? Jawabnya, ada dua. Pertama, berilah alasan untuknya. Tidak kira samada alasan itu benar atau tidak tetapi andaikanlah alasan-alasan mengapa mereka berbuat demikian. Jika kita menghulur senyuman, tetapi disambut dengan masam muka… katakan mungkin mereka letih, sakit, tertekan atau sebagainya.
Sekalipun mungkin alasan itu tidak benar, tetapi sekurang-kurangnya kita tidak tersiksa memikirkan perkara-perkara yang negatif. Memikirkan yang negatif itu sahaja sudah satu penderitaan. Jadi ciptalah alasan-alasan untuk mereka dan semaikan sikap sangka baik sentiasa. Jangan kecewa dalam membuat kebaikan. Insya-Allah, Allah akan mengikut sangkaan para hamba-Nya.
Jika benar pasangan kita sudah curang, menipu dan jahat, maka kejahatan serta keburukan itu tidak akan menimpa kita. Sangka baik itu adalah peluang yang kita berikan untuk orang lain berubah dan jika mereka tetap tidak berubah seperti yang kita harapkan, itu tidak akan mengubah kita. Sangka baik itu adalah benteng yang akan menyelamatkan kita daripada penzaliman dan tipudaya orang lain.
Kedua, konsistenlah dalam berdoa. Doakan diri kita sendiri  dan pasangan kita. Doa itu akan ‘menutralkan’ semula  aura negatif yang menyelubungi dan memancar daripada diri kita. Bukankah dengan berdoa kita mengucapkan dan mengharapkan perkara yang baik-baik? Doa bukan sahaja memberi kesan positif dalam perhubungan kita dengan Allah tetapi jua perhubungan diri kita dengan diri kita sendiri. Kita akan selalu memberi ransangan yang positif kepada diri sendiri apabila kita berdoa.
Hukama ada berkata, terhalangnya kita daripada berdoa adalah lebih merbahaya daripada tidak makbulnya doa kita itu. Mengapa? Bila kita tidak berdoa, kita umpama insan negatif yang penuh racun atau ‘toxic’. Kata-kata kita racun, pemikiran kita racun dan perbuatan kita penuh racun. Racun itu bukan sahaja boleh memusnahkan orang lain tetapi ia juga akan memusnahkan diri kita sendiri.
Oleh itu, ayuh… berilah ransangan yang positif. Kuatkan kembali daya tarikan dalam cinta kita. Dan dalam menabur bibit kebaikan, jangan mengharapkan hasil yang segera, jangan dicemari racun prasangka dan paling penting jangan lupa untuk berdoa. Kembalikanlah daya tarikan dalam hubungan cinta. Bukankah simponi cinta itu indah? Tetapi jika tidak ada lagi keindahannya… tanyakanlah kepada diri kita, suami atau isteri kita… apakah itu masih cinta?